Wanita dikaitkan dengan warga Israel didakwa miliki senjata
Sinar Harian
April 8, 2024 13:38 MYT
April 8, 2024 13:38 MYT
KLANG: Seorang wanita yang dikaitkan seorang warga Israel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu tuduhan memiliki pistol jenama LUGER, hujung bulan lalu.
Suaminya wanita itu pula membuat pengakuan sama, tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu didakwa berada bersama-sama wanita itu yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia mengetahui isterinya memiliki senjata tersebut.
Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azim didakwa ada bersama dengan Syarifah Faraha yang memiliki senjata api iaitu satu pistol jenama CZ 75 P-01 CAL. 9 LUGER.
Ia menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa dia didakwa mengetahui bahawa isterinya itu memiliki senjata api tersebut dengan menyalahi undang-undang, di Jalan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing di sini pada jam 8 malam, 29 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman pemenjaraan selama 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enarn kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Syarifah Faraha didakwa didapati dalam milikannya senjata api yang menyalahi undang-undang tersebut, di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara selama 14 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian