Wanita dihempap kayu balak stabil

Bernama
Julai 12, 2024 13:15 MYT
Wanita yang nyaris maut akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Selasa lepas, kini dilaporkan stabil. - BERNAMA
GUA MUSANG: Wanita yang nyaris maut akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini Selasa lepas, kini dilaporkan stabil.
Abang mangsa, Mohamad Azwa Kamarulzaman, 28, berkata adiknya Siti Norelyana, 21, yang berada dalam pemantauan rapi petugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu menunjukkan perkembangan semakin baik.
"Alhamdulillah adik saya stabil dan doktor memaklumkan ada peluang untuk dia sembuh. Organ dalaman dia juga baik-baik sahaja, syukur Allah jaga dia," katanya menerusi platform TikTok miliknya semalam.
Terdahulu, Siti Norelyana nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya dihempap kayu balak yang dibawa sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat di persimpangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kemalangan berpunca daripada 'turn-table' lori balak itu patah ketika mengambil selekoh.
-- BERNAMA
#dihempap kayu balak #stabil #lampu isyarat #Jalan Gua Musang-Kuala Krai