Wanita dihempap kayu balak ditidurkan
Bernama
Julai 10, 2024 18:44 MYT
Julai 10, 2024 18:44 MYT
GUA MUSANG: Wanita yang nyaris maut akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara di sini semalam terpaksa ditidurkan ketika mendapat rawatan di Hospital Gua Musang.
Abang mangsa Mohamad Azwa Kamarulzaman, 28, berkata adiknya Siti Norelyana, 21, kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kira-kira 8 malam semalam dan berada dalam pemantauan rapi petugas kesihatan.
Beliau berkata adiknya akan menjalani pembedahan akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan antaranya tulang belakang, tulang rusuk, hati dan paru-paru.
"Adik saya ditidurkan kira-kira 6 petang semalam dan sekarang ini doktor sedang merawat bahagian usus yang berkemungkinan akan mengalami komplikasi.
"Saya berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan adik saya dan berharap semua terus kekal berdoa supaya dia dapat pulih," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohamad Azwa berkata mengikut perancangan Siti Norelyana akan melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun ini.
Siti Norelyana nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya dihempap kayu balak yang dibawa oleh sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kemalangan berpunca daripada turn-table lori balak itu patah ketika mengambil selekoh.
Sementara itu, Mohamad Azwa menafikan adiknya hamil susulan terdapat pendarahan pada seluar mangsa.
Beliau berkata pendarahan berkenaan akibat kecederaan dalaman yang dialami semasa kemalangan itu.
"Selain itu, saya juga menerima berita palsu mengenai kematian adik saya selepas menerima rawatan yang mula tersebar di media sosial sejak semalam.
"Kami menerima pelbagai pertanyaan termasuk bila adik saya meninggal dunia, tempat dikebumi, usia kandungan dan keadaan bayi dalam kandungan. Saya tegaskan semua dakwaan ini tidak benar sama sekali dan adik saya belum berkahwin," katanya menerusi TikToK yang menafikan kesemua dakwaan itu, hari ini.
Mohamad Azwa meminta individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu berkenaan supaya menarik balik artikel atau hantaran yang telah dimuat naik di media sosial itu.
Emosi keluarga kini amat terganggu, katanya sambil menambah adiknya kini mengalami kekurangan darah dan memerlukan bekalan darah yang banyak.
"Doktor memaklumkan keadaan adik saya sangat kritikal," katanya.
-- BERNAMA