Wanita dihanyut kepala air di Taiping ditemui lemas di Kuala Sepetang

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 1, 2020 12:30 MYT
Polis menyerahkan mayat mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM Perak
TAIPING: Seorang wanita yang dilaporkan hilang dibawa arus sungai susulan fenomena kepala air di kawasan rekreasi air terjun Burmese Pool, di sini semalam, ditemui lemas hari ini.
Mangsa, K. Kanagavalli, 45 tahun, dijumpai nelayan di Kuala Sepetang, kira-kira 20 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mayat mangsa ditemui 9.10 pagi.
Pihak polis yang turut berada di lokasi penemuan telah mengambil mayat mangsa dan menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang semalam, mangsa dilaporkan melakukan aktiviti riadah bersama empat sekeluarga di kawasan rekreasi air terjun itu.
Bagaimanapun, mangsa dihanyutkan kepala air manakala tiga lagi ahli keluarga terselamat selepas dipercayai diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #lemas #mangsa #hilang #wanita #bomba #mayat #air #nelayan #polis #Taiping #JBPM #burmese pool #Kuala Sepetang #riadah #rekreasi #air terjun #kepala air #hanyut
;