Wanita digesa bina jenama peribadi untuk berjaya - Timbalan Menteri

Bernama
Julai 17, 2023 12:25 MYT
Saraswathy (kanan) hadir pada pelancaran buku "From Individual to Brand: A Step by Step Personal Brand Guide for Professionals," karya Shalini Subramaniam di Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Wanita perlu mencipta jenama peribadi yang kukuh untuk membolehkan mereka mengetengahkan kepakaran, lantang bersuara selain memperkukuh diri sebagai pemimpin dalam bidang masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami berkata penjenamaan peribadi dapat memperkasa wanita untuk mencabar stereotaip, memecahkan halangan dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.
"Penjenamaan peribadi kini muncul sebagai aspek penting dalam kehidupan kita, dalam dunia yang serba pantas dan saling berkaitan hari ini.
"Ia adalah seni dalam membentuk dan mengetengahkan identiti unik kita kepada dunia. Alat berkuasa ini boleh membantu wanita menonjol, memberi impak dan mencapai kejayaan," katanya dalam ucapan pada pelancaran buku "From Individual to Brand: A Step by Step Personal Brand Guide for Professionals," karya Shalini Subramaniam di Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Dalam ucapannya itu Saraswathy mengetengahkan kisah kejayaan Datin Vivy Sofinas Yusof, seorang ikon fesyen Malaysia dan ahli perniagaan yang mahir media sosial dengan lebih sejuta pengikut di Instagram.
Vivy berjaya menggunakan penjenamaan peribadi untuk membina empayar dalam industri fesyen, melayakkannya disenarai di Forbes' Under 30 Asia pada 2017.
Saraswathy turut berkongsi pengalaman peribadinya mencipta jenama untuk dirinya sendiri dengan menyokong pelbagai usaha melalui penulisannya.
Beliau berkata penggunaan media sosial sangat penting dalam membina jenama peribadi, mempamerkan kepakaran dan berhubung dengan individu yang berfikiran sama untuk mengembangkan perniagaan seseorang secara eksponen.
Saraswathy juga memuji usaha pengarang Shalini dalam buku itu kerana mendedahkan rahsia untuk mencipta jenama peribadi yang menarik untuk khalayak ramai dan mencipta impak yang berkekalan.
"Menerusi bukunya, Shalini turut menekankan bahawa penjenamaan peribadi bukan sahaja untuk selebriti atau pempengaruh, bahkan untuk individu daripada semua lapisan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Shalini, yang pakar dalam membina jenama peribadi untuk profesional melalui penciptaan kandungan, kepimpinan pemikiran dan penceritaan, berkata bukunya menekankan kepentingan meletakkan diri sebagai pemimpin pemikiran dalam segmen khusus, mewujudkan persepsi eksklusif dan akhirnya membawa kepada peluang yang diluar jangka.
"Buku enam bab setebal 115 muka surat itu menekankan mengenai keperluan untuk membangunkan jenama peribadi. Saya mempunyai misi untuk merangsang profesional supaya mewujudkan kehadiran secara dalam talian yang berkembang maju bagi menarik peluang dalam kerjaya dan perniagaan," kata usahawan yang telah melatih lebih 150 profesional itu.
Menurut penulis yang telah diiktiraf sebagai LinkedIn Rising Personality di Malaysia, membina jenama peribadi memerlukan muhasabah diri yang meluas, yang mendorong individu mempunyai matlamat tentang semua yang mereka kongsi dengan penonton mereka.
Bagi yang berminat untuk membeli buku tersebut, boleh layari https://www.shalinis.co/fromindividualtobrand atau hubungi: 017-580 2027.
-- BERNAMA
#golongan wanita #jenama peribadi #Saraswathy Kandasami #usahawan
;