Wanita didenda RM600 cederakan ibu kandung sendiri

Bernama
Oktober 18, 2016 07:10 MYT
Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.
Gara-gara mencederakan ibunya selepas berlaku perselisihan faham, seorang wanita didenda RM600 atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Goh Bee Young, 42, yang mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas ibu kandungnya Chai Siew See, 84, di rumah mereka di Jinjang Baru pada 2.42 petang, 16 Okt lepas.
Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.
Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, Goh yang diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh memohon hukuman ringan atas alasan ianya berlaku akibat perselisihan faham keluarga selain kesalahan itu adalah kesalahan pertama tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abdul Halim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor keselamatan awam kerana tertuduh sanggup memukul ibunya sendiri yang telah tua yang turut mengalami masalah penglihatan. - Bernama
#Ahmad Solihin Abdul Wahid #Mahkamah Majistret #wanita didenda
;