Wanita didakwa tipu, tawar pakej umrah dan haji tanpa lesen
Bernama
Mac 2, 2023 14:55 MYT
Mac 2, 2023 14:55 MYT
KUALA PILAH: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu dan menawarkan pakej umrah serta haji tanpa lesen yang sah.
Bagi pertuduhan pertama, Nur Zaidani Akmal Abdul Majid, 39, didakwa memperdaya seorang warga emas berusia 61 untuk memindahkan wang RM14,000 sebagai bayaran pakej umrah dan haji bagi tahun ini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Nur Zaidani Akmal didakwa menawarkan pakej umrah tanpa memegang lesen yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 5 (2) Akta Industri Pelancongan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa menawarkan pakej haji tanpa lesen pengelola jemaah haji yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji dan pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 27 (1) (a) Akta Tabung Haji 1995 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, antara pukul 8.46 pagi hingga 9.52 malam, pada 27 Dis 2022 hingga 27 Jan lepas.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Saiful Sayoti membenarkan Nur Zaidani Akmal diikat jamin sebanyak RM11,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 3 April ini.
-- BERNAMA
#Nur Zaidani Akmal Abdul Majid
#Seksyen 27 1 a Akta Tabung Haji 1995
#wanita mengaku tidak bersalah tawar pakej umrah
#Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya