Wanita didakwa sokong, miliki bahan berkaitan kumpulan Daesh

Bernama
Julai 19, 2024 08:52 MYT
Fauziahanim Abdullah, 57, dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. - Gambar/ Bernama
PETALING JAYA: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan-bahan (item) berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan memberi sokongan kepada kumpulan tersebut, bulan lepas.
Fauziahanim Abdullah, 57, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan Daesh dalam telefon bimbit miliknya dan sebuah pemacu kilat USB di sebuah unit kondominium di Persiaran Kinrara Seksyen 3, Puchong di sini pada 9.02 pagi, 23 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Instagram atas nama Aurora Millisaa @Hanee_bear_ di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada 9.15 pagi, 28 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#sokong daesh #kes mahkamah #rakyat Malaysia #hukumna penjara