Wanita didakwa sebabkan kematian pegawai kanan polis dan isteri

Adie Sufian Zulkefli
April 27, 2017 11:44 MYT
Yeoh Chiew Fern, 36, didakwa memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Mohd Noor Mat Yaub dan isteri. - Foto Astro AWANI
Seorang penganggur wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling, hari ini, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling bersama isterinya pada 18 April lalu.
Tertuduh, Yeoh Chiew Fern, 37, mengaku tidak bersalah dan meminta supaya dibicarakan sejurus dibacakan pertuduhan itu dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memandu kereta, bernombor PKG 5142 di Kampung Telok Teduri, Jalan Baru Baling Kupang di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian Mohd Noor Mat Yaub, 38, dan isterinya, Suriya Ab Rahman, 37.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan maksimum RM20,000, jika disabitkan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Halina Othman di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Halina tidak menawarkan sebarang jaminan, namun tertuduh memohon supaya dibenarkan diikat jamin.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 30 Mei depan bagi lantikan peguam.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju-T berwarna ungu dan berseluar panjang hitam tiba di pekarangan mahkamah tepat jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis.
Sepanjang berada di kamar mahkamah, tertuduh kelihatan tenang dan ceria berbual dengan tahanan lain.
Dalam kejadian pada 18 April lalu, Ketua Pegawai Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling bersama isterinya maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kampung Teluk Teduri Jalan Kupang, kira-kira jam 7 pagi manakala empat anak mereka parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh dari bahagian belakang.
Empat anak mereka ialah Irdina Aliah, 11, Insyirah Aliah, 10, Muhamad Adib Mustakim 8 dan Imanina Aliah, 6 tahun.
Ketika kejadian mangsa bersama isteri sedang dalam perjalanan untuk menghantar empat anak mereka ke sekolah.
#Baling #Dadah #kemalangan #Mahkamah Majistret #mangsa #siasatan #wanita
;