Wanita didakwa pukul kucing bunting dengan besi hingga mati

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 18, 2021 11:13 MYT
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang broker wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan memukul seekor kucing betina dan seekor anak kucing sehingga mati dalam kejadian Disember tahun lalu.
Hah Choy Kheng, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan hakim Norhayati Mohamad Yunos.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan kejam memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna jingga dan seekor anak kucing betina berwarna putih-kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter sehingga menyebabkan kematian kedua-dua ekor kucing tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan di Blok B1, Pintas Kalui 1,Seberang Jaya, Pulau Pinang pada jam 1.20 petang pada 29 Disember tahun lepas.
BACA: Wanita tular pukul kucing bunting hingga mati ditahan - Polis
BACA: Wanita bunuh kucing bunting direman empat hari
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) dan boleh di hukum dibawah seksyen sama.
Bunuh Kucing | Broker wanita mengaku tidak bersalah
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Pulau Pinang , Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsher Singh Thind.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Warga emas tergamak bunuh kucing bunting
Astro AWANI sebelum ini melaporkan polis telah menahan seorang wanita selepas didakwa memukul dua ekor kucing iaitu seekor kucing yang sedang bunting sehingga mati dan anak kucing hingga cedera.
Bagaimanapun difahamkan anak kucing tersebut mati selepas seminggu menerima rawatan akibat dipukul.
Wanita itu dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila dua ekor haiwan itu membuang najis di hadapan rumahnya.
#Mahkamah Sesyen #pukul kucing #broker wanita #batang besi #kucing bunting #Butterworth #mahkamah #wanita #video viral
;