Wanita didakwa perdaya tawaran darjah kebesaran 'Datuk Seri'

Astro Awani
Mac 17, 2022 18:59 MYT
Pihak polis membawa Li Shi (dua dari kiri) dan Kah Fook (kanan) ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan kes memperdaya seorang ahli perniagaan berhubung tawaran gelaran Datuk Seri'. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang juga penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan untuk menyerahkan RM94,850 berhubung tawaran gelaran ‘Datuk Seri’, tahun lalu.
Tertuduh, Ong Li Shi, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Lapor Sinar Harian, tertuduh didakwa memperdayakan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 33 tahun, untuk menyerahkan wang berjumlah RM94,850 secara berperingkat ke akaun bank milik tertuduh pada 9 Disember lalu.
Mengikut pertuduhan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakannya, seorang jurulatih seni mempertahankan diri, Chin Kah Fook, 33, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menolong menyembunyikan wang RM75,150 kepunyaan mangsa sama.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada 14 Januari lalu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal dan Amalina Johar manakala Li Shi diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh.
Mahkamah kemudian membenarkan Li Shi dan Kah Fook diikat jamin masing-masing RM6,000 dan RM1,500 selain menetapkan 26 April serta 1 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, tiga individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri melibatkan kerugian RM294,850.
#Mahkamah Majistret #penjara #gelaran Datuk Seri #tipu Datuk Seri
;