Wanita didakwa bunuh anak kandung berusia 2 tahun

Abd Razak Mohd Ali
Mac 17, 2022 13:11 MYT
Mengikut kertas pertuduhan, Thang didakwa membunuh anaknya pada jam 2 pagi 9 Mac lalu di sebuah rumah di Taman Seri Iskandar, Hutan Melintang. - Foto Astro AWANI
TELUK INTAN: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak kandungnya yang berusia dua tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Thang Pui Ling, 33 tahun, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim K Rajeswari, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh anaknya Heng Jing Yi, pada jam 2 pagi, 9 Mac lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Seri Iskandar, Hutan Melintang.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail sementara tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.
Mahkamah menetapkan 9 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak terbabit dihantar ke sebuah hospital swasta oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan alasan anak itu mengalami sesak nafas.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata, doktor yang menerima mangsa ketika itu mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kesan luka di beberapa bahagian badan kanak-kanak tersebut.
Tertuduh dikatakan baru sahaja mengambil semula anaknya itu untuk dijaga pada Jun tahun lalu selepas diletakkan di bawah jagaan pengasuh sejak Jun 2020.
#bunuh anak kandung #Teluk Intan #sesak nafas #kesan luka
;