Wanita didakwa abai bayi hingga meninggal dunia
Bernama
Ogos 25, 2022 17:30 MYT
Ogos 25, 2022 17:30 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan hingga menyebabkan kematian, awal bulan ini.
Nor Malisa Mansor, 39, yang ketika itu sebagai pengasuh kepada bayi itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di Presint 9, Putrajaya, antara 11 pagi hingga 1 tengah hari, pada 9 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31 (5) (b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta serupa, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun Nor Malisa yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia mempunyai tiga anak dan seorang daripadanya masih menyusu.
Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Sept ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA