Wanita diarah jalani khidmat masyarakat 240 jam kerana tinggal anak tanpa jagaan

Bernama
Disember 18, 2023 18:15 MYT
wanita itu didakwa dengan cuai telah meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan. - Gambar hiasan
MELAKA: Seorang ibu hari ini diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan, kerana mengabaikan tiga anaknya, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Darmafikri Abu Adam, menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berumur 41 tahun itu, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan.
Ibu kepada empat anak itu yang bekerja sebagai pembantu am sekolah juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun, dengan jaminan RM7,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan itu, wanita itu didakwa dengan cuai telah meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan, yang mungkin menyebabkan ketiga-tiga anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 16 hingga 18 Jun 2021 dan 23 hingga 25 Sept 2021.
Pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Omar Zulkarnain yang mewakili tertuduh, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada anak guamnya dan memohon perintah bon berkelakuan baik dengan alasan wanita itu telah insaf.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom membantah permohonan itu, kerana dikhuatiri tidak mencapai sifat hukuman untuk menghalang masyarakat melakukan kesalahan sama.
-- BERNAMA
#khidmat masyarakat #abaikan anak #mahkamah sesyen ayer keroh #bon berkelakuan baik #cuai #Akta Kanak-Kanak
;