Wanita dera anak hingga mati dibebaskan dengan jaminan polis

Sinar Harian
April 30, 2023 11:40 MYT
Polis masih meneruskan reman terhadap suspek lelaki yang merupakan bapa tiri mangsa bagi membantu siasatan.
ISKANDAR PUTERI: Suspek wanita yang dipercayai mendera anak lelakinya berusia empat tahun sehingga meninggal dunia dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, biarpun dibebaskan dengan jaminan polis, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan.
Menurutnya, reman terhadap wanita itu tamat hari ini dan polis masih meneruskan reman terhadap suspek lelaki yang merupakan bapa tiri mangsa bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, setakat ini polis masih belum ada apa-apa bukti terbaharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Wanita berkenaan yang tidak bekerja direman selama dua hari mulai 28 hingga 30 April, sementara suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan direman selama tujuh hari mulai 29 April hingga 5 Mei depan.
Jumaat lalu, sekitar jam 1.30 petang, polis menahan pasangan suami isteri berkenaan di rumah mereka di Jalan Aman, Skudai kerana dipercayai terlibat mendera anak lelaki mereka sehingga meninggal dunia.
Polis turut merampas beberapa barangan lain seperti penyangkut baju yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.
Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, belakang telinga, perut dan kaki dipercayai didera oleh pasangan terbabit meninggal dunia ketika tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru sekitar jam 8.20 pagi pada hari yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak). Jika disabit bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20, 000 atau kedua-duanya.
Hasil siasatan awal, suspek lelaki berkenaan memiliki satu rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah.
Selain itu, mangsa turut mempunyai seorang adik lelaki berusia enam bulan dan suspek wanita pula didapati hamil dua bulan. - Sinar Harian
#dera anak #Rahmat Ariffin #reman #bapa tiri
;