Wanita dakwa kerugian RM60,000, barang kemas dicuri

Bernama
Mac 17, 2025 23:00 MYT
Abdul Malik berkata pihaknya turut menahan seorang wanita warga asing berusia 40-an yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut, kira-kira 11.30 malam tadi. - Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Seorang wanita mendakwa kerugian kira-kira RM60,000 selepas barang kemasnya dipercayai dicuri oleh pekerja yang sedang membuat pengubahsuaian rumahnya di Taman Laman Puteri, Nilai di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia lingkungan umur 40-an mengenai kecurian barangan kemas di rumahnya pada 14 Mac lepas.
"Siasatan awal mendapati tiga jenis barang kemas dicuri iaitu sebentuk cincin dan dua rantai leher. Suspek disyaki seorang lelaki warga asing yang dilantik oleh wanita itu untuk pengubahsuaian rumahnya.
"Sabtu lepas kira-kira 1.15 pagi, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai ke Kampung Bahagia Jiboi di sini untuk mengesan suspek, namun lelaki itu dipercayai telah melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Malik berkata pihaknya turut menahan seorang wanita warga asing berusia 40-an yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut, kira-kira 11.30 malam tadi.
Beliau berkata setakat ini tiga saksi telah diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp R Raj Kumardi talian 010-9021255 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya
--BERNAMA
#warga asing #barang kemas #balai polis #rakaman percakapan
;