Wanita cetus kontroversi video sambutan Hari Raya dengan anjing dibebaskan
Astro Awani
Ogos 2, 2013 14:53 MYT
Ogos 2, 2013 14:53 MYT
Wanita yang mencetuskan kontroversi dengan memuat naik video YouTube sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anjing peliharaannya, telah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.
Maznah Mohd Yusof, 38 atau lebih dikenali sebagai Chetz Yusof dibebaskan pada jam 12.20 tengah hari tadi.
Menurut peguamnya, G.Visvanathan Nair, pendaftar mahkamah Mohd Anuar Ostadi yang telah mengeluarkan arahan tersebut.
“Maznah telah dibebaskan namun masih perlu untuk menghadirkan dirinya selepas ini jika diperlukan berkenaan kes tersebut,” kata Visvanathan.
Jika dirinya gagal untuk menghadiri mahkamah, dia boleh didenda sebanyak RM10,000.
Beliau menambah bon mahkamah tersebut telah diberikan di bawah Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah.
“Dia kini dibawa ke balai polis untuk mengambil semula barang-barang peribadinya dan dijangka akan dilepaskan selepas itu,” kata Visvanathan.
Chetz telah menajdi bualan di media sosial setelah dia memuatnaik video sambutan Hari Rayanya bersama tiga ekor anjing tiga tahun lalu di YouTube pada Isnin lalu.
Dia ditahan pada Rabu lalu di Bukit Aman, Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Segamat kemudiannya.