Wanita ceroboh trek maut, laluan LRT Ampang/Sri Petaling alami gangguan

Astro Awani
Ogos 20, 2021 22:13 MYT
Laluan LRT Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan perkhidmatan dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC disebabkan oleh kejadian pencerobohan trek yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Laluan LRT Ampang / Sri Petaling mengalami gangguan perkhidmatan dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC disebabkan oleh kejadian pencerobohan trek yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang hari ini.
Menurut satu pernyataan yang dikeluarkan oleh Rapid KL, seorang penceroboh wanita yang masih belum dapat dikenal pasti, maut dalam insiden tersebut.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Balai Bomba dan Penyelamat dari Sentul, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan anggota Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut berada di lokasi ketika kejadian.
"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Bagaimanapun, perkhidmatan di laluan LRT Ampang / Sri Petaling dari stesen LRT Putra Heights yang menuju ke stesen LRT Ampang sudah kembali beroperasi seperti biasa.
"Kami berasa sangat sedih di atas kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada semua penumpang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dari kejadian ini disebabkan gangguan perkhidmatan," demikian menurut satu kenyataan dari Prasarana.
Rapid KL turut memohon agar orang ramai berhenti berkongsi gambar kejadian bagi menghormati mangsa yang terlibat dan mengelakkan membuat sebarang spekulasi mengenai motif pencerobohan trek.
“Rapid KL memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dilakukan.
"Pihak kami juga sedang memulakan kerja-kerja audit menyeluruh mengenai langkah-langkah keselamatan stesen kami untuk meminimumkan risiko kejadian seperti ini pada masa hadapan,” tambahnya.
#Ampang #LRT #PDRM #Malaysia #Kuala Lumpur #PWTC #prasarana #Polis Diraja Malaysia #pencerobohan trek
;