Wanita cemas bayaran kereta 'tertunggak' 19 bulan

Afiezy Azaman
Mei 20, 2019 08:07 MYT
Salah seorang daripada tiga lelaki yang cuba menarik kereta seorang wanita, sempat berbalah dengan seorang anggota polis. - Facebook: Francis Yirdaki CT
Polis sedang mengesan tiga lelaki yang terlibat dalam kes penarikan sebuah kereta milik seorang wanita di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), ibu negara, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah, berdasarkan laporan mangsa yang berusia 32 tahun menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenal pasti pada 3 petang menyatakan keretanya menghalang laluan di MITEC dan meminta mangsa mengalihkannya.
"Apabila mangsa turun dia mendapati terdapat tiga lelaki berada di sebelah keretanya bersama trak tunda sambil menyatakan mangsa mempunyai tunggakan selama 19 bulan.
"Mangsa cuba menghubungi bank untuk mendapatkan kepastian namun telah dihalang oleh salah seorang daripada suspek, seterusnya kawan mangsa telah menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
"Setibanya di lokasi kejadian, pihak polis telah meminta kedua-dua belah pihak untuk hadir di balai polis bagi membuat laporan namun tiga lelaki ini gagal hadirkan diri ke balai untuk membuat laporan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shanmugamoorthy berkata berdasarkan keterangan, mangsa tidak pernah menerima sebarang notis tunggakan atau sebarang surat penarikan kereta daripada pihak bank.
"Butiran kesemua suspek telah diperoleh dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan serta kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (melakukan pemerasan)," jelasnya.
#MITEC #PDRM #polis #sindiket #tarik kereta