Wanita cemas, anak terkunci dalam kereta

Sinar Harian
Julai 13, 2022 06:21 MYT
Pasukan bomba sedang melakukan operasi menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang terkunci dalam kereta. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas anak lelakinya berusia dua tahun terperangkap di dalam sebuah kereta di parkir rumah di Taman Kesidang, Bachang di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Ismail berkata, sepasukan anggota serta pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.34 pagi.
"Setiba di lokasi kita dapati seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terkunci dalam sebuah kereta jenis Honda Civic.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa sembilan minit dan diserahkan semula kepada keluarga dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, ibu kanak-kanak terbabit memaklumkan kereta terkunci secara automatik ketika dia keluar sebentar dari kenderaan itu untuk mengambil barang di dalam rumah.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#wanita cemas #anak terkunci #Melaka #bomba