Wanita cedera tong gas LPG meletup dalam rumah

Siti Norbaya Abidin
Disember 13, 2022 12:40 MYT
Keadaan rumah dan kawasan parkir akibat letupan tong gas LPG. - Foto JBPM
TASEK GELUGOR: Seorang wanita cedera selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu turut menyebabkan hampir keseluruhan struktur bangunan rumah teres dua tingkat itu mengalami kerosakan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Hazam Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.13 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, seorang mangsa wanita berusia 26 tahun yang mengalami kecederaan telah dibawa keluar oleh jiran sebelum pasukan bomba tiba.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk menerima rawatan”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta serta sebuah motosikal yang di parkir di ruang hadapan rumah mengalami kerosakan.
Difahamkan, mangsa mendiami rumah tersebut bersama adik lelaki dan isterinya.
Justeru, pihaknya melakukan kerja-kerja pemantauan dan kawalan agar tiada letupan susulan berlaku.
“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya
#tong gas #LPG #meletup #rumah teres
;