Wanita cedera tersepit, kereta rempuh belakang treler

Aida Aziz
September 6, 2022 07:15 MYT
Sebuah Nissan Almera telah melanggar bahagian belakang sebuah treler dalam kejadian di KM348.0 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Bidor, malam tadi. - Foto JBPM Perak
BIDOR: Seorang wanita cedera tersepit setelah kenderaan yang dinaiknya merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 348.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara di sini malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung nahas itu pada jam 10.02 malam.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera bersama anggota bomba di lokasi kejadian mendapati, benar terdapat kemalangan jalan raya membabitkan kereta jenis Nissan Almera dan treler.
"Kereta tersebut telah melanggar bahagian belakang sebuah treler dan terdapat seorang mangsa wanita tersepit di dalamnya," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
Kemudian menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan susulan.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Nasir Ibrahim itu tamat pada jam 11.18 malam.
#Lebuhraya Utara Selatan #wanita cedera tersepit #kereta rempuh treler #JBPM Perak
;