Wanita cedera terjatuh selepas beg direntap peragut

Afiezy Azaman
Januari 19, 2021 23:28 MYT
Menurut polis, mangsa dilihat baru lepas meletakkan kenderaan di tempat letak kereta sebelum didatangi suspek yang menaiki motosikal.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis selepas terlibat dalam kejadian ragut bersenjata terhadap seorang wanita di kawasan rumah kedai di Eco Sanctuary, Telok Panglima Garang, awal pagi Selasa.
Menurut Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, lelaki berkenaan ditahan tidak sampai 24 jam selepas kejadian menerusi maklumat orang awam dan rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
“Suspek berusia 25 tahun ditahan di Kampung Sijangkang jam 4 petang tadi dan polis menemui sebahagian barangan mangsa yang diragut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi 1 minit 37 saat memaparkan kejadian pada jam 8.20 pagi itu.
Arjunaidi berkata, mangsa yang berusia 51 tahun dilihat baru lepas meletakkan kenderaan di tempat letak kereta sebelum didatangi suspek yang menaiki motosikal.
“Suspek bertindak mengacukan parang kepada mangsa dan merentap beg tangannya sehingga mangsa terjatuh.
“Susulan kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan bengkak pada bahagian kepala, lebam di lengan dan lutut serta sakit di bahagian atas paha dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang telah membantu dalam menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap.
#kejadian ragut #ditahan polis #wanita cedera #Eco Sanctuary #Polis Selangor #Kampung Sijangkang
;