Wanita cedera tangan tertusuk besi

Adie Sufian Zulkefli
September 1, 2021 12:11 MYT
Besi pada bahagian pintu yang menusuk tangan mangsa menyebabkan kecederaan. - Foto ihsan JBPM
ALOR SETAR: Seorang wanita alami cedera selepas tangan kanannya tertusuk besi ketika memasuki bilik air di rumahnya.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi di Jalan Langgar, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan khidmat khas menyelamat sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar digerakkan.
"Setibanya di lokasi didapati terdapat seorang wanita berusia 23 tahun itu berada dalam bilik air dengan keadaan pergelangan tangan kanan mangsa telah tertusuk serpihan besi sepanjang 5 sentimeter.
"Tindakan awal yang dilakukan anggotanya adalah dengan memberi rawatan awal sebelum menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan besi berkenaan dari tangan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan luka terbuka hampir satu inci pada tempat tusukan itu.
Beliau berkata, komander operasi kemudian memaklumkan mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta oleh keluarganya bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.41 pagi," katanya.
#cedera #tertusuk besi #tangan #bilik air
;