Wanita cedera tangan tersepit mesin tebu

Aida Aziz
Jun 27, 2022 17:15 MYT
Anggota bomba membuat rawatan awal kepada mangsa dan membawanya ke hospital untuk tindakan lanjut. - Gambar/ JBPM
GOPENG: Seorang peniaga mengalami kecederaan parah pada tangan kiri selepas tersepit mesin tebu di Kampung Sungai Itik, di sini pada Isnin.
Difahamkan kejadian pada jam 2.45 petang itu berlaku ketika wanita tersebut sedang memerah tebu menggunakan mesin tersebut di gerai jualannya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu.
"Mangsa tersepit pada bahagian tangan dan jari sebelah kiri. Orang awam telah membantu mengeluarkan tangan mangsa dari mesin tebu sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
"Anggota bomba kemudiannya membuat rawatan awal kepada mangsa dan membawanya ke hospital untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Kamarul Mohd Nawawi itu tamat pada jam 2.58 petang.
#peniaga air tebu cedera #Tersepit mesin tebu #Gopeng #bomba
;