Wanita cedera parah tangan tersepit mesin pengisar ikan
Bernama
November 18, 2020 21:11 MYT
November 18, 2020 21:11 MYT
KOTA BHARU: Seorang wanita berketurunan Siam cedera parah pada lima jarinya selepas tangan kanannya tersepit di mesin pengisar ikan dalam kejadian di rumahnya di Kampung Neting dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.
Ketika kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa berusia 26 tahun dikatakan sedang melakukan kerja-kerja mengisar ikan untuk dijadikan bebola sebelum secara tiba-tiba sebelah tangannya tertarik masuk ke dalam mesin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Raja Arisan Raja Ismail berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu selepas suami mangsa hadir ke balai bomba dan enam pegawai bomba dikejarkan ke rumah mangsa.
"Sebaik tiba di lokasi kira-kira 3.09 petang, didapati tangan mangsa masih berada di dalam mesin dan jarinya sudah hancur.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuang skru di bahagian mesin di mana tangan kanan mangsa terlekat dan membawanya ke Klinik Kesihatan Neting untuk rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 di sini untuk rawatan lanjut berikutan kecederaan parah yang dialaminya.
-- BERNAMA