Wanita cedera diserang pisau ketika hendak tunai solat, polis siasat motif serangan
Firdaus Azil
Ogos 9, 2024 16:54 MYT
Ogos 9, 2024 16:54 MYT
PETALING JAYA: Suasana tenang di sebuah surau di SS5a, Kelana Jaya di sini jam 1.30 tengah hari pada Jumaat dikejutkan dengan jeritan seorang wanita yang dipercayai singgah sebentar untuk menunaikan solat.
Jeritan kuat itu mendorong seorang petugas sekolah agama yang berhampiran untuk melihat apa yang sedang berlaku.
Sejurus tiba di tandas surau tersebut, dia melihat wanita itu sedang bergelut dengan penyerang yang dipercayai cuba menyerangnya dengan sebilah pisau.
Menurut saksi kejadian, petugas tersebut cuba meleraikan pergelutan tersebut, namun dia juga tercedera di bahagian lengan apabila dilibas dengan pisau oleh suspek berkenaan.
Wanita yang diserang juga mengalami kecederaan di perut akibat terkena libasan pisau.
Difahamkan, suspek yang menaiki sebuah kenderaan mewah telah melarikan diri manakala kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan susulan.
Tinjauan Astro AWANI di tempat kejadian mendapati beberapa tompokan darah di kerusi dan lantai berhampiran tandas surau itu.
Selain itu pergelutan di antara penyerang dan mangsa menyebabkan pintu tandas tersebut pecah dan paip air patah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Shahrulnizam Jaafar@Ismail ketika dihubungi Astro AWANI berkata kejadian sedang dalam siasatan, dan polis sedang giat memburu suspek.
Sementara itu dalam kenyataan terbaharu, beliau memaklumkan pihak polis masih menyiasat motif serangan tersebut.
"Mangsa cedera dilibas di perut dan kepala, manakala guru luka besar di lengan tangan kiri.
"Mereka dikejarkan ke hospital Shah Alam," katanya.