Wanita cedera 'diserang' isteri ketiga suami

Sinar Harian
Mac 6, 2023 12:01 MYT
Suspek yang juga seorang peniaga turut membuat laporan polis mendakwa pengadu merosakkan kereta jenis BMW miliknya ketika kejadian. - Gambar hiasan
KEMAMAN: Seorang wanita cedera pada jari tangan selepas dipercayai terlibat dalam pertengkaran dan pergelutan dengan madunya yang tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam kawasan rumahnya dalam kejadian di Chukai, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika wanita berusia 34 tahun itu berada di rumah bersama seorang anak lelaki berusia lapan tahun.
Katanya, berdasarkan aduan, wanita tersebut yang merupakan seorang peniaga mendakwa madunya berusia 28 tahun itu turut merosakkan sebuah motosikal dan sebuah kereta milik suaminya.
"Suspek didakwa telah menerpa masuk ke dalam kawasan pagar rumah dan terus bertindak memecahkan cermin hadapan dan belakang sebuah kereta milik suami pengadu dengan menggunakan bakul mengisi buah sebelum berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan antara mereka.
"Ketika kejadian, suspek juga didakwa bertindak mencalarkan sarung belakang sebuah motosikal," katanya kepada pemberita, di sini, pada Isnin.
Menurut Hanyan, siasatan mendapati suspek datang ke rumah pengadu untuk mencari suaminya yang didakwa tidak pulang ke rumah selama dua hari.
"Suspek juga ada bertanyakan kepada pengadu sama ada pengadu mengetahui bahawa suaminya itu telah berkahwin dengan adiknya (adik suspek)," jelas Hanyan.
Difahamkan, suspek masih belum disahkan bercerai dengan suaminya melalui Mahkamah Syariah.
Hanyan berkata, suspek yang juga seorang peniaga turut membuat laporan polis mendakwa pengadu merosakkan kereta jenis BMW miliknya ketika kejadian.
Hanyan memberitahu, suspek telah ditahan dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 447/427 Kanun Keseksaan. -- Sinar Harian
#wanita diserang #isteri ketiga #Kemaman #bercerai
;