Wanita cedera dihempap dahan pokok tumbang di Taman Eko Rimba
Aida Aziz
September 7, 2024 06:45 MYT
September 7, 2024 06:45 MYT
BERUAS: Seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan di kepala setelah dihempap dahan pokok yang tumbang di Taman Eko Rimba Segari, di sini, malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, ketika kejadian, mangsa sedang duduk di gazebo lalu dihempap sebatang pokok tumbang.
Katanya, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima jam 8.24 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
"Sebatang pokok tumbang telah menghempap sebuah gazebo dan sebuah kereta jenis Honda City.
"Kejadian itu turut membabitkan seorang mangsa wanita yang ketika itu berada di gazebo di situ, cedera di kepala setelah dihempap dahan pokok tersebut.
"Mangsa kemudiannya dibawa menaiki ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke hospital sebelum pihak bomba tiba," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambahnya, bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemotongan dahan pokok yang menghalang laluan dengan menggunakan gergaji berantai sehingga keadaan selamat.
Operasi membabitkan seramai sembilan orang anggota bomba itu tamat jam 10.35 malam.