Wanita bunuh kucing bunting direman empat hari
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 31, 2020 13:29 MYT
Disember 31, 2020 13:29 MYT
BUKIT MERTAJAM: Wanita yang didakwa membunuh seekor kucing yang sedang bunting dengan cara memukulnya menggunakan sebatang besi di kawasan perumahan di Jalan Pintas Kaloi, Seberang Jaya, Pulau Pinang kelmarin direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membenarkan permohonan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk menahan reman suspek bagi membantu siasatan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Suspek yang berusia 51 tahun itu kini ditahan di lokap polis.
Semalam Astro AWANI melaporkan seorang wanita bertindak kejam apabila tergamak memukul dua ekor kucing dengan sebatang besi sehingga salah seekor daripada kucing yang sedang bunting mati.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang Selasa itu, seekor lagi kucing mengalami kecederaan pada bahagian mulut.
Kejadian bagaimanapun disedari seorang juruteknik lelaki berusia 30 tahun yang kemudian membuat laporan polis, termasuk melaporkannya kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut.
Wanita yang bekerja sebagai broker itu dikatakan berang terhadap dua kucing berkenaan yang membuang najis di hadapan rumahnya.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat JPV, Azhar Ahmad, berkata siasatan pihaknya mendapati haiwan berkenaan merupakan kucing terbiar dan berkeliaran di kawasan itu.
Setelah menerima laporan berhubung kejadian, pihaknya telah pergi ke rumah suspek untuk menjalankan siasatan termasuk membuat rampasan pakaian serta besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, bangkai kucing yang mati telah dihantar ke makmal veterinar untuk proses bedah siasat.
Manakala seekor lagi kucing yang cedera kini masih menerima rawatan berikutan mukanya bengkak dan mengalami kesukaran untuk makan.
#bunuh kucing
#reman
#besi
#Seberang Jaya
#Bukit Mertajam
#kucing bunting
#Jabatan Perkhidmatan Veterinar
#wanita
#broker
#buang najis
#bedah siasat
#Kucing terbiar