Wanita buat laporan polis dakwa anak perempuan cuba diculik
Bernama
November 2, 2015 21:24 MYT
November 2, 2015 21:24 MYT
Seorang wanita dari Kampung Merbok di sini, membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya cuba diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), petang semalam.
Norzaini Kamarudin, 30, berkata beliau membuat laporan di Balai Polis Merbok malam tadi selepas anaknya yang berumur lapan tahun berulang kali menceritakan kejadian itu kepadanya.
Katanya anaknya memberitahu dia didekati beberapa lelaki memakai topeng muka yang menaiki pacuan empat roda kira-kira 5.45 petang semalam.
"Katanya mereka melarikan diri selepas disergah seorang penduduk kampung yang berada di situ.
"Selepas kejadian, anak terus berlari pulang ke rumah dalam keadaan tercungap-cungap dan menceritakan perkara sama berulang-kali," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Mohd Zukir Mohd Isa ketika dihubungi hari ini berkata polis sedang melakukan siasatan susulan laporan itu.