Wanita British maut go-kart terbabas
Bernama
Jun 7, 2019 17:03 MYT
Jun 7, 2019 17:03 MYT
Seorang wanita warga British maut selepas go-kart yang dipandunya di sebuah pusat sukan ekstrem terbabas dalam kejadian di Iskandar Puteri, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kemalangan melibatkan Chloe Josephine, 18, itu berlaku kira-kira pukul 9.20 malam.
"Seorang pengadu memberitahu bahawa terdengar satu dentuman yang kuat sebelum marshall yang bertugas di litar tersebut bergegas ke tempat kejadian dan memaklumkan terdapat seorang wanita terbabas semasa memandu.
"Sejurus itu, marshall berkenaan memaklumkan perkara berkenaan kepada rakan mangsa dan mangsa dibawa ke Hospital Gleneagles, Iskandar Puteri untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun disebabkan mengalami pendarahan di hidung, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia akibat 'post trauma'.
"Hasil siasatan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di pusat sukan ekstrem itu tidak berfungsi dan siasatan masih diteruskan," katanya.
Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA
#Chloe Josephine
#Dzulkhairi Mukhtar
#go-kart
#Iskandar Puteri
#kemalangan
#Marshall
#mati mengejut
#maut
#mayat
#meninggal dunia
#polis
#pusat sukan ekstrem
#siasatan
#terbabas
#wanita
#warga british