Wanita boleh mainkan peranan penting dalam pemuliharaan Imbak Canyon
Bernama
November 17, 2024 04:30 MYT
November 17, 2024 04:30 MYT
TONGOD: Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, wanita yang menyertai tinjauan sumber hidupan liar atau ekspedisi saintifik anjuran Yayasan Sabah mendapati pengalaman itu bukan hanya bermanfaat malah turut memperlihatkan kepentingan untuk terlibat dalam usaha pemulihaaran.
Baru-baru ini, 12 wanita daripada pelbagai agensi kerajaan, organisasi swasta dan institusi pengajian tinggi menghabiskan masa dua minggu dalam hutan Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon (ICCA) untuk menjalankan aktiviti itu yang berakhir pada 14 Sept.
Nur Shakirah Jasili berkata tinjauan berkenaan tidak hanya memberikan pengalaman indah dan pembakar semangat malah hampir menangis apabila melihat keindahan alam semula jadi di lokasi itu.
"Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. Melihat keaslian alam semula jadi membuatkan saya berasa bangga. Ia memberikan kesan yang amat mendalam," katanya kepada Bernama.
ICCA di Tongod di sini ialah kawasan hutan simpan seluas 30,000 hektar yang terletak di tengah-tengah Borneo, kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu. Kekayaan biodiversiti dan menjadikan ia hab penyelidikan, dengan kawasan tanah yang luas dan hutan berusia 100 juta tahun.
Kaya dengan biodiversiti menjadikan kawasan ini pusat tumpuan penyelidik. Dengan keluasan yang amat besar dan hutan yang berusia lebih 100 juta tahun ia menawarkan pelbagai penemuan baharu.
Nur Shakirah berkata biodiversiti di Imbak Canyon mendorongnya untuk mengetahui lebih lanjut tentang persekitaran alam semula jadi, terutamanya warisan alam negara.
Beliau berkata ia satu peluang berharga untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai hidupan liar dan biodiversiti.
"Penting untuk memelihara keindahan serta keaslian alam semula jadi terutamanya hutan hujan tropika kita yang masih belum terusik kerana ia anugerah Tuhan yang tidak ternilai," katanya.
Nur Shakirah yang bekerja dengan Kumpulan Yayasan Sabah di bawah Bahagian Pemuliharaan dan Pengurusan Alam Sekitar (CEMD) berkata aktiviti tinjauan berkenaan tidak terlalu sukar atau mengancam nyawa.
"Oleh itu, wanita yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran bidang biodiversiti ini harus mengambil bahagian dalam program seperti pemuliharaan, termasuk tinjauan saintifik dan hidupan liar, kerana ia platform yang baik untuk menguji dan menggunakan kepakaran mereka," katanya.
Nur Shakirah menegaskan terdapat juga wanita yang sangat berminat untuk mempelajari pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam program berkenaan, walaupun tidak mempunyai kepakaran khusus.
"Saya yang tidak mempunyai latar belakang sains atau penyelidikan tetapi sangat berminat untuk mengetahui jenis flora dan fauna, spesies burung, dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata wanita juga perlu memainkan peranan dalam aktiviti pemuliharaan, termasuk mengambil bahagian dalam ekspedisi saintifik dan tinjauan hidupan liar. Setakat ini beliau telah mengambil bahagian dalam tiga tinjauan hidupan liar dan sumber di Lembangan Maliau, Imbak Canyon dan INIKEA, serta Ekspedisi Saintifik Sungai Taliwas.
Rakan sekerja Nur Shakirah, Dana Merlize Gintik yang turut mengambil bahagian dalam tinjauan hidupan liar dan sumber di ICCA baru-baru ini juga bersetuju wanita perlu memainkan peranan dalam aktiviti pemuliharaan.
"Pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti adalah tanggungjawab bersama, dan penglibatan wanita membawa pengalaman unik dan set kemahiran yang boleh menyumbang kepada kejayaan usaha pemuliharaan secara keseluruhan," katanya.
Dana mengakui program seperti ini memberikan cabaran fizikal dan mental, tetapi beliau yakin ia boleh diatasi oleh peserta wanita sama seperti lelaki.
"Cabaran yang dihadapi di lapangan, seperti mendaki laluan denai yang curam, berdepan cuaca yang tidak menentu, dan bekerja dalam persekitaran hutan yang mencabar memang memerlukan ketahanan fizikal yang baik.
Bagaimanapun, kekuatan mental, ketabahan dan sikap positif juga memainkan peranan penting. Ini kualiti yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jantina," katanya.
Dana berkata selepas menyertai beberapa program tinjauan, beliau mengetahui setiap kawasan hutan pemuliharaan dan pemulihan di bawah jagaan Yayasan Sabah mempunyai keunikan tersendiri.
"Di Imbak Canyon, saya belajar tentang kekayaan spesies flora dan fauna, termasuk spesies yang jarang ditemui atau terancam. Tinjauan itu telah membantu saya memahami ekosistem unik di kawasan berkenaan, serta kepentingannya dalam pemuliharaan biodiversiti di Sabah," katanya.
Beliau berkata pengalaman tinjauan itu sangat menarik, dengan setiap hari mereka dapat mendengar pelbagai bunyi burung atau katak kerana tapak perkhemahan mereka terletak hanya 10 hingga 20 meter dari sungai.
"Antara aktiviti yang saya lakukan ialah memasang jaring halus untuk melihat spesies burung di kawasan itu," kata Dana yang telah mengambil bahagian dalam tiga tinjauan hidupan liar dan sumber Yayasan Sabah termasuk ekspedisi saintifik.
-- BERNAMA