Wanita BN mahu urusan pentadbiran pembantu rumah guna kaedah 'G2G'
Astro Awani
Januari 10, 2013 12:15 MYT
Januari 10, 2013 12:15 MYT
Wanita Barisan Nasional (BN) hari ini mencadangkan pengurusan dan pentadbiran pengambilan pembantu rumah warga asing diuruskan oleh kerajaan menerusi kaedah 'kerajaan dengan kerajaan' (G2G).
Pengerusinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga menggesa kos pengambilan bagi pembantu rumah warga asing ini dapat dihadkan antara RM3,000 hingga RM4,000 sahaja.
"Wanita Barisan Nasional bantah dan tidak setuju yuran sebanyak RM6,700. Kadar ini terlalu tinggi," kata beliau dalam satu sidang media di PWTC pada Khamis.
Pada 4 Januari lalu, Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) telah mengumumkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada harga RM6,700, berkuatkuasa serta-merta.
Menurut PAPA, struktur kos baharu itu tidak termasuk tambahan RM1,000 sebagai pinjaman kepada pembantu rumah untuk berkongsi yuran Penempatan Tenaga Kerja Indonesia Sektor Domestik di Indonesia.
Presidennya, Jeffrey Foo berkata struktur kos itu dicapai selepas rundingan berpanjangan dengan Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga kerja Indonesia (APJATI) sejak beberapa bulan lalu.