Wanita bersalin di perkarangan mahkamah

Bernama
Januari 17, 2013 21:22 MYT
Perkarangan kompleks Mahkamah Perlis hari ini mencatat sejarahnya tersendiri apabila seorang wanita yang sarat mengandung melahirkan seorang bayi lelaki, pagi tadi.
Dalam kejadian pada 11 pagi itu, Shahidawati Shabudin, 37, hadir ke mahkamah untuk mengikuti kes suaminya, Narizam Saad, 39, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret bagi mendapat perintah mengikut Seksyen 4(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Mengikut laman web rasmi Mahkamah Perlis, Narizam sebak lalu menangis apabila melihat isterinya melahirkan seorang bayi di perkarangan mahkamah sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah itu.
Sementara itu majistret, Zuhair Rosli yang sebelum itu turut menyaksikan peristiwa itu kemudiannya membuat keputusan agar tertuduh dibebaskan dengan pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tempoh dua tahun.
Bayi lelaki itu serta ibunya telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk rawatan lanjut.
Wanita itu dikatakan dijadualkan melahirkan anak keempatnya itu pada 1 Feb tetapi kelahiran bayi itu berlaku lebih awal dan di tempat yang tidak pernah dijangkakan.
#kompleks Mahkamah Perlis #Shahidawati Shabudin #Zuhair Rosli
;