Wanita berdepan detik cemas Myvi dihanyut arus deras
Sinar Harian
Januari 7, 2024 18:45 MYT
Januari 7, 2024 18:45 MYT
KOTA TINGGI: Seorang wanita nyaris dihanyutkan arus deras selepas Perodua Myvi yang dipandunya terjatuh ke dalam longkang besar.
Video kejadian berdurasi 15 saat yang tular itu menunjukkan insiden itu dipercayai berlaku di Jalan Bukit Samsu, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini.
Dalam rakaman itu, seorang wanita dipercayai pemandu kereta berpaut pada Perodua Myvi berwarna kelabu yang dihanyutkan arus deras di dalam longkang.
Kemudian, dua lelaki kelihatan cuba membantu menyelamatkan mangsa dengan salah seorang daripada lelaki terbabit bertindak pantas menarik wanita berkenaan dan mereka dilaporkan selamat.
Pelbagai komen ditinggalkan di media sosial, yang rata-ratanya memuji usaha dilakukan lelaki yang menyelamatkan mangsa.
Sementara itu, Polis Daerah Kota Tinggi memaklumkan maklumat berhubung kejadian itu akan dikongsikan namun insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan nyawa. -Sinar Harian