Wanita berdepan detik cemas, kenderaan hampir jatuh dari bangunan
Astro Awani
Januari 20, 2019 22:52 MYT
Januari 20, 2019 22:52 MYT
Seorang pemandu wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Farlim, Air Itam, George Town hilang kawalan dan hampir terjatuh dari tingkat dua bangunan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, sebahagian daripada badan kenderaan terbabit tergantung selepas tembok tempat letak kereta berkenaan roboh akibat dilanggar kenderaan tersebut.
Menurut Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Sabri Romli, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada kira-kira jam 7.45 malam.
Setibanya di lokasi kejadian, terdapat seorang wanita berusia lingkungan 30-an berada di tempat duduk pemandu dan tidak mengalami sebarang kecederan namun berada dalam keadaan trauma,
Difahamkan, mangsa ingin pulang ke rumah selepas selesai membeli belah di pasar raya itu.
Namun ketika menghidupkan kenderaannya, dia dikatakan tersilap masuk gear mengundur menyebabkan kereta jenis Proton Saga yang dipandunya melanggar tembok parkir sehingga roboh.
Keadaan itu menyebabkan kenderaannya hampir terjatuh dengan sebahagian badan kenderaan itu tergantung.
Sabri berkata, semasa kejadian, mangsa berkenaan hanya seorang diri.
Pihak bomba menggunakan jentera untuk menarik kereta mangsa supaya tidak terjatuh dan operasi tamat kira-kira pukul 8.30 malam.
Wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut berikutan trauma yang dialaminya.
#Air Itam
#bangunan
#Farlim
#hampir jatuh
#Jabatan Bomba dan Penyelamat
#kenderaan
#pasar raya
#tergantung
#tingkat dua