Wanita antara tiga ditahan disyaki terlibat pecah rumah
Bernama
Ogos 9, 2023 21:55 MYT
Ogos 9, 2023 21:55 MYT
KUALA LUMPUR: Polis percaya berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya melibatkan kerugian RM24,800 dengan penahanan dua lelaki dan seorang wanita pada 1 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata kesemua yang berusia antara 29 hingga 43 tahun ditahan pada 2 petang di Plaza Tol Sungai Buloh.
Beliau berkata polis turut merampas sejumlah barangan daripada mereka antaranya satu kotak bertulis Versace mengandungi rantai, beg tangan jenama Coach, sebotol minyak wangi jenama Calvin Klein dan sebatang sepana Gaston berwarna hitam.
"Turut dirampas dua surat pajak gadai, sebatang pemutar skru, satu set kunci Allen dan tiga kunci Allen yang diubah suai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penahanan dilakukan susulan polis menerima laporan berkaitan satu kejadian pecah rumah di kawasan Damansara Damai, Petaling Jaya, pada 12.28 tengah hari, 30 Julai lepas.
Menurut Mohamad Fakhruddin, pengadu di dalam laporannya mengatakan semasa tiba di rumah pada 11.30 pagi hari sama mendapati pintu jeriji rumahnya terbuka dan telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM2,700.
Katanya semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod kesalahan jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah manakala seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Methamphetamine.
"Kesemua suspek direman seminggu bermula 2 Ogos untuk siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA