Wanita anak tiga maut ditikam bekas suami
Muhafandi Muhamad
Julai 2, 2023 12:56 MYT
Julai 2, 2023 12:56 MYT
KOTA BHARU: Cemburu dipercayai menjadi motif seorang wanita berusia 42 tahun maut ditikam bekas suaminya dalam satu kejadian di Taman Desa Darulnaim, Kubang Kerian, sekitar jam 3 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, mangsa yang maut merupakan ibu kepada tiga orang anak serta berstatus ibu tunggal.
Katanya siasatan awal pihak polis ke atas mayat mangsa menjumpai 13 kesan kecederaan di tubuh mangsa.
Mangsa yang mempunyai tiga anak berusia dari 14 hingga 24 tahun itu telah berpisah dengan suspek sejak 6 tahun lalu iaitu pada Disember 2022.
Mangsa sebelum ini pernah mendirikan rumahntangga bersama bekas suami pertama dan dikurniakan tiga anak sebelum berkahwin buat kali kedua dengan suspek di negara jiran.
Siasatan awal pihak polis mendapati suspek dipercayai cemburu dengan mangsa yang dikatakan mempunyai teman lelaki.
Semasa kejadian, mangsa dikatakan berada bersama suspek dalam bilik tidur, sebelum seorang saksi terdengar jeritan mangsa.
Saksi yang melihat kejadian memaklumkan, selepas terdengar jeritan, mangsa keluar dari bilik dalam keadaan berlumuran darah sebelum rebah di ruang tamu dan meninggal dunia.
Suspek sebelum ini dikatakan meminta mangsa kembali bersama namun ditolak oleh mangsa.
Muhamad Zaki berkata, suspek yang berusia 51 tahun berjaya ditahan selepas pihak polis menerima laporan dari anak saudara mangsa yang tinggal bersama.
Semasa kejadian itu juga, lima orang saksi lain turut berada di dalam rumah teres satu tingkat di kawasan perumahan berkenaan.
Beliau memaklumkan, suspek sering datang ke rumah sewa didiami mangsa pada hari minggu.
Muhamad Zaki menambah, pihak polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan oleh suspek.
Perintah reman ke atas suspek akan diperolehi hari ini dan suspek kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.