Wanita, anak maut dalam kemalangan di Kota Tinggi

Aiman Hakeem Awazmin
Ogos 20, 2022 17:45 MYT
Selain dua yang disahkan maut, pemandu kereta Proton Wira itu dan tiga lagi mangsa yang berada di dalam kereta Proton Saga turut mengalami kecederaan. - Foto JBPM
KOTA TINGGI: Dua individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berhampiran Felcra Dusun Panti, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira 10.51 pagi itu, mangsa, Titah Abd Ghani, 58, dan anaknya, Samsiah Abdullah, 21, maut selepas cedera parah susulan tersepit di dalam kereta Proton Wira yang dipandu menantunya, Mohd Fahmi Aizat Mokhtar, 24.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan Dua Ibrahim Hj Wahid berkata, pemandu kereta Proton Wira itu dan tiga lagi mangsa yang berada di dalam sebuah kereta Proton Saga yang terbabit kemalangan turut mengalami kecederaan.
"Terdapat empat orang mangsa telah berjaya keluar daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba.
"Dua perempuan dewasa yang masih tersepit didalam kenderaan Proton Wira disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditempat kejadian.
"Identiti mangsa maut dikenal pasti sebagai Ibu mentua dan isteri kepada pemandu kereta Proton Wira terbabit.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi menggunakan jentera EMRS serta Ambulan KKM.
Manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.
Jelas Ibrahim lagi, operasi ditamatkan sekitar jam 12 tengah hari selepas anggotanya memastikan keadaan dilokasi berada dalam keadaan yang selamat.
Katanya, seramai sepuluh orang anggota dari BBP Kota Tinggi yang dibantu dua unit jentera telah terlibat dalam operasi menyelamat itu.
#kemalangan maut #Kota Tinggi #cedera parah #tersepit kereta
;