Wanita 59 tahun korban pertama banjir Johor

Harits Asyraf Hasnan, Siti Nur Aqilla Omar
Januari 2, 2021 09:40 MYT
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Akob Sidek berkata mangsa dikenali sebagai Halijah Majid. - Foto ihsan bomba
KLUANG: Seorang wanita berusia 59 tahun menjadi korban pertama banjir di negeri Johor.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Akob Sidek berkata mangsa dikenali sebagai Halijah Majid.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan 12.39 tengah hari tadi yang memaklumkan terdapat mangsa lemas di Kampung Contoh, Kluang.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa telah terjatuh ke dalam longkang sedalam tujuh kaki yang dipenuhi air dan lemas di kawasan tersebut.
"Mangsa telah dijumpai dan dibawa naik ke kawasan yang selamat oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan.
BACA: Banjir di Johor memburuk, amaran cuaca peringkat bahaya
Pihaknya telah bertindak memberi bantuan pernafasan kepada mangsa.
Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa maut ditempat kejadian.
#banjir #lemas #bomba #operasi #Kluang #Halijah Majid #mangsa banjir #Kementerian Kesihatan