Wanita 20 tahun ke atas disaran jalani saringan kesihatan kesan NCD
Bernama
Mac 28, 2024 17:13 MYT
Mac 28, 2024 17:13 MYT
KANGAR: Golongan wanita berusia 20 tahun dan ke atas disaran menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) sebagai langkah pencegahan awal.
Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Perlis Dr Nor Saleha Jamil berkata saringan kesihatan sangat penting dan perlu dijadikan sebagai rutin.
"Bermula umur 20 tahun dan ke atas, sudah boleh saring NCD seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, pemeriksaan darah untuk periksa gula, kolesterol, fungsi buah pinggang dan hati... jangan tunggu ada simptom baru nak uji, masa tu tak tahu sama ada komplikasi sudah berlaku atau tidak.
"Contoh seperti tekanan darah tinggi yang merupakan pembunuh senyap, ada sesetengah orang tak rasa apa-apa, mungkin ada sesetengah orang akan rasa, (tetapi yang tiada simptom) bila kita periksa tekanan darah, baru kita tahu yang tekanan darah tidak normal," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Nor Saleha turut menasihati wanita berumur 30 dan ke atas supaya sentiasa peka terhadap kanser pangkal rahim yang menyerang golongan itu serta menasihati mereka agar melakukan pap smear iaitu ujian saringan bagi mengesan penyakit tersebut.
Beliau juga berkata selepas seseorang wanita menopaus, mereka masih berisiko mengalami masalah kesihatan seperti kanser payudara serta usus yang biasanya berlaku ketika usia meningkat kepada 40 dan 50 tahun ke atas.
"Sekiranya wanita itu ada masalah dalam keluarga seperti kanser payudara dan kanser usus, saringan sepatutnya dilakukan lebih awal supaya tidak terlepas untuk untuk mendapatkan rawatan," katanya.
-- BERNAMA