Wang tunai RM114 juta pelbagai mata wang dalam 35 beg - Amar Singh
Ibrahim Sani
Mei 25, 2018 11:56 MYT
Mei 25, 2018 11:56 MYT
Daripada 72 beg yang dirampas dari beberapa unit di kondominium mewah Pavilion Residences pada 18 Mei lalu, 35 beg mengandungi wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM114 juta.
Ini yang didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, dalam sidang media di ibu negara sebentar tadi.
“Ini semua wang tunai daripada 26 mata wang, termasuk dolar Amerika, nilai mengikut kadar pertukaran pada 24 Mei," ujar beliau.
Sementara itu, baki 37 beg pula mengandungi barang kemas dan jam tangan mewah yang masih belum diketahui nilainya.
"Kami akan memberitahu nilai sebenar pada minggu hadapan apabila penilaian rasmi diperoleh," kata Amar Singh.
Kesemua barangan dan wang tunai itu dimuatkan di salah sebuah unit kondo kosong di Pavilion Residences.
“Kami turut merampas barangan dari dua lagi unit di Pavilion Residences yang didiami anak bekas perdana menteri.
“Antaranya kami merampas 150 beg tangan pelbagai jenama," katanya sambil menambah proses pengiraan wang rampasan dilakukan dengan kerjasama 21 pegawai Bank Negara Malaysia dan seorang pegawai Bank Islam.
Sementara itu beliau berkata nilai beg tangan yang dirampas masih belum disahkan dan pihaknya akan menghantar gambar beg tangan ke Paris untuk penilaian harga.
Kesemua wang tunai yang dirampas disimpan di Bank Negara manakala barang kemas disimpan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Amar Singh berkata, siasatan dibuat dibawah Seksyen 409 Kanun Prosedur Jenayah.
Rampasan di rumah Najib
Dalam pada itu, polis turut merampas RM500,000 wang tunai di rumah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta.
“Kami turut merampas matawang asing, beg tangan pelbagai jenama, jam tangan berjenama yang mana kesemua ini belum dinilai lagi," katanya.
Dalam pada itu, Amar Singh berkata pihak polis akan melakukan siasatan penuh sehingga kepada pendakwaan sebelum menentukan sama ada akan memulangkan wang yang didakwa milik UMNO.
Terdahulu Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mendakwa wang yang dirampas adalah milik UMNO dan menyeru ia dipulangkan.
Maklumat tular
Sementara itu, Amar Singh juga berkata, antara tujuan utama sidang media itu diadakan adalah untuk menyangkal beberapa maklumat yang tidak benar di media sosial dan media cetak baru-baru ini.
“Sejak serbuan kami di Pavilion Residences pada 18 Mei lalu, terdapat banyak spekulasi tentang rampasan yang dibuat, dan juga ada gambar-gambar tular yang kononnya menunjukkan isi kandungan rampasan.
“Ada juga media yang melaporkan jumlah wang serta nilai barang kemas dan jam tangan yang dirampas.
“Saya menyangkal semua ini. Semua maklumat dan gambar-gambar yang tular adalah palsu dan tidak benar sama sekali. All this is fake news,” tegas Amar Singh.
Beliau berkata, ini adalah kerana ketika serbuan dibuat, tiada seorang pegawai polis yang membawa telefon bimbit mereka, kecuali komander yang mengetuai pasukan di setiap premis.
“Itu (telefon bimbit) pun hanya digunakan untuk menghubungi saya. Ketika serbuan, gambar-gambar hanya diambil oleh jurugambar polis yang bertauliah dari Unit D6 (Bantuan Teknik), menggunakan kamera dan bukan telefon bimbit.
“Jadi saya ingatkan semua masyarakat dan juga media, jangan percaya dan jangan tularkan apa-apa yang palsu kerana ia boleh menjejaskan siasatan,” kata Amar Singh.