Wang simpanan RM5.04 juta lesap angkara penipuan kripto
Sinar Harian
Februari 16, 2024 15:55 MYT
Februari 16, 2024 15:55 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang akauntan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM5.04 juta lesap akibat penipuan sindiket pelaburan kripto pada Ogos 2023.
Syarikat pelaburan terbabit mendakwa berpangkalan di Amerika Syarikat sebelum berjaya memerangkap mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan seorang lelaki sebelum terpedaya menyertai pelaburan terbabit.
"Mangsa yang berumur 55 tahun jtu ditawarkan membuat pelaburan di Amerika Syarikat serta dijanjikan keuntungan lumayan.
"Mangsa kemudiannya membuat pindahan sebanyak 143 kali ke dalam skim pelaburan terbabit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5.04 juta," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Katanya, mangsa kemudiannya menyedari dirinya ditipu apabila tidak lagi dihubungi individu terbabit.
"Mangsa tampil membuat laporan polis sekitar 7 Februari lalu berkaitan kejadian itu.
"Setakat ini, siasatan berkaitan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Ramli berkata lapan individu diberkas di sekitar Kuala Lumpur susulan kerjasama pihaknya bersama pihak Polis Taiwan, pada 30 Januari lalu.
"Hasil serbuan, lapan individu terdiri daripada 4 lelaki warga Taiwan, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan telah ditahan kerana disyaki cuba mewujudkan hub pusat panggilan penipuan di Malaysia.
"Kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 31 hingga 44 tahun selain rampasan melibatkan 12 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set dokumen, tiga passport, dua kad akses dan dua buah kenderaan," katanya.
Tambahnya, semakan mendapati kesemua empat lelaki warga Taiwan yang ditahan berstatus 'dikehendaki' oleh pihak berkuasa Taiwan kerana terlibat dengan jenayah penipuan dan jenayah terancang di sana.
"Kesemua mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 13 Februari 2024 untuk proses selanjutnya.
"Polis yakin kerjasama dengan pihak polis Taiwan dalam kes ini telah berjaya membendung kewujudan satu lagi pusat panggilan penipuan di Malaysia," katanya. - Sinar Harian