Wang RM12 juta: Polis tidak akan lakukan inkuiri - KPN

Mariah Ahmad
Jun 20, 2016 11:46 MYT
KHALID: "Kenapa pula kita perlu buat inkuiri? Kita sudah jelaskan apa yang sudah terjadi dengan duit tersebut. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melakukan inkuiri berhubung pembayaran wang berjumlah RM12 juta bagi membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik di Pulau Ligitan, Sabah pada April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan inkuiri kerana pihak PDRM tidak terlibat dalam pembayaran wang tersebut.
"Kenapa pula kita perlu buat inkuiri? Kita sudah jelaskan apa yang sudah terjadi dengan duit tersebut. Tiada sebab untuk kita buat inkuiri kerana kita tidak terlibat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM Tahun 2016 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.
Sebelum ini adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29; sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21; dan seorang lagi anak kapal bot tunda Wong Hung Sing, 34, dibebaskan 8 Jun lalu selepas diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memperjelaskan wang berjumlah RM12 juta yang dibayar bagi pembebasan empat rakyat Malaysia dari Sarawak itu bukanlah berupa wang tebusan.
Wang itu katanya dibayar kepada badan tertentu di Filipina yang melakukan aktiviti sah di negara itu.
Pada sidang media sama, Khalid turut menafikan khabar angin mengenai penculikan beberapa rakyat Malaysia di perairan tersebut.
Beliau menjelaskan:"Pihak Filipina tidak memberi kita apa-apa pengesahan sehingga hari ini. Jadi saya anggap itu sebagai berita angin dan tidak ada apa-apa kejadian tersebut berlaku."
#Abu Sayyaf #culik #Filipina #IGP #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #Ligitan
;