Wang lesap lepas isi maklumat di aplikasi Bank Negara palsu

Bernama
Mei 19, 2020 09:18 MYT
Mangsa mula sedar diperdayakan apabila mendapati terdapat pemindahan wang dilakukan tanpa pengetahuannya.
Seorang peniaga membuat laporan polis mendakwa kehilangan wang simpanan RM33,000 selepas mengisi maklumat perbankan di aplikasi mudah alih kononnya milik Bank Negara Malaysia (BNM) seperti diarahkan 'pegawai polis' berpangkat Datuk.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 37 tahun itu mendakwa dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lalu, berhubung siasatan cukai tertunggak.
Suspek lelaki itu dikatakan memberitahu mangsa bahawa namanya didaftarkan atas penubuhan sebuah syarikat yang perlu menjelaskan cukai berjumlah RM50,000 dan kes tersebut kononnya telah sampai ke peringkat atasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
"Mangsa mendakwa telah diarahkan untuk bercakap dengan kakitangan di IPK tersebut dan semakan terhadap nombor kad pengenalan mangsa dikatakan berkait dengan kes dadah menyebabkan dia diminta berurusan dengan pegawai atasan kononnya bergelar Datuk.
"Datuk itu dikatakan memberi pilihan untuk mangsa membenarkan semakan terhadap akaun bank miliknya atau dikenakan waran tangkap.
"Itu menyebabkan mangsa ketakutan lalu menyerahkan butiran perbankan miliknya kepada suspek," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.
Mohd Wazir berkata, mangsa diberi alamat laman web 'MyBNM' yang dikatakan kononnya milik BNM dan diarahkan mengisi maklumat peribadi perbankan dalam talian dan akaun perniagaan miliknya, bagi tujuan siasatan.
Mangsa mendakwa 'Datuk' itu juga memintanya untuk menunggu hasil siasatan terhadap tiga akaun bank miliknya selain diarahkan untuk melaporkan diri menerusi pesanan WhatsApp di nombor yang diberikan setiap tiga jam.
Bagaimanapun, mangsa mula sedar diperdayakan apabila mendapati terdapat pemindahan wang dilakukan tanpa pengetahuannya dan 'Datuk' itu gagal memberi penjelasan apabila ditanya, menyebabkan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin dekat sini, pada Isnin.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA
#akaun #Bank Negara #Datuk #ditipu #maklumat peribadi #menyamar polis #mybnm #penipuan #perbankan online #perniagaan #polis #scam
;