Wang lebih RM200,000 batal percutian ke London pada 2016 masuk akaun peribadi Azlan Man - Saksi

Bernama
Ogos 22, 2024 18:08 MYT
Azlan (tengah) hadir bagi perbicaraan kes yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Jualan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa wang berjumlah RM222,811.95 telah masuk ke akaun bank peribadi Datuk Seri Azlan Man selepas bekas Menteri Besar Perlis itu membatalkan tempahan percutian keluarga ke London, United Kingdom pada 2016.
Abdul Rahim Halim, 47, berkata, pakej percutian yang bermula 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 berjumlah RM253,195.40 dibayar oleh kerajaan negeri Perlis kepada syarikat agensi pelancongan itu sebelum ia dibatalkan Azlan.
"Pakej percutian Azlan pada tahun 2016 itu tidak berlaku, namun wang berjumlah RM222,811.95 melalui cek bertarikh 24 Januari 2017 telah dipulangkan kepada Azlan melalui akaun peribadi beliau atas arahan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis, Herwadey Hashim ketika itu.
"Jumlah itu (RM222,811.95) selepas ditolak 12 peratus daripada RM253,195.40 caj perkhidmatan yang telah dikenakan oleh syarikat Aidil Travel & Tours Sdn Bhd,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Pada Rabu, Pengarah Syarikat Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Alimah Omar, 66, memberitahu mahkamah bahawa bayaran balik bagi pembatalan percutian Azlan berjumlah RM629,395.30 sepatutnya dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis tetapi beliau dimaklumkan tuntutan bayaran balik itu dibuat oleh Azlan, maka cek dikeluarkan atas nama Azlan Man.
Mengenai penyerahan cek pembatalan pakej percutian itu, Abdul Rahim berkata, beliau menyerahkan cek tersebut kepada Herwadey di Alamanda, Putrajaya pada 2017.
Selain itu, Abdul Rahim berkata, kerajaan negeri turut membuat tempahan pakej percutian Azlan sekeluarga ke London di antara 23 hingga 30 November 2017 dan meluluskan pembayaran RM244,079.30 kepada Aidil Travel & Tours.
"Herwadey menghubungi saya dan meminta saya menyediakan sebut harga bagi tuntutan perjalanan Menteri Besar Perlis sekeluarga ke London dengan kadar yang layak diterimanya,” katanya yang kini berkerja sebagai Pengarah Syarikat Corporate Travel Advisor Sdn Bhd.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah, mengapa saksi itu bersetuju dengan peguam Azhar Amir mewakili Azlan bahawa syarikat pelancongan itu tidak membuat sebarang tindakan sejurus menerima wang tempahan pakej percutian tersebut.
"Saya terima arahan daripada Herwadey untuk pulangkan duit tersebut kepada Menteri Besar Perlis (Azlan),” jawab Abdul Rahim.
Haresh: Mengapa Encik Abdul Rahim setuju dengan peguam bahawa tiket percutian tidak pernah ditempah kerana ia (tiket) tidak wujud sama sekali, namun dalam pernyataan saksi Encik Abdul Rahim menyatakan terdapat pembatalan pakej percutian.
Abdul Rahim: Pembatalan tersebut daripada segi sebut harga yang saya berikan sebelum ini.
Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.
-- Bernama
#tuntutan palsu #Azlan Man #kes mahkamah #bekas MB Perlis