Wang KWSP: Simpanan masa hadapan atau kegunaan harian?

Arfa Yunus
Julai 17, 2013 08:28 MYT
Perancang kewangan bersetuju bahawa pencarum tidak harus dibenarkan untuk mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja simpanan (KWSP) mereka bagi menyelesaikan kes bankrap akibat hutang kad kredit.
Sentimen ini disuarakan berdasarkan pendapat bahawa KWSP direka untuk dana persaraan serta untuk melindungi waris dan keluarga mereka.
Perancang Kewangan Kanan Phillip Wealth Planners Sdn Bhd, Nicholas Chu menyokong idea tersebut kerana menurut beliau, wang KWSP diwujudkan bukan untuk pembayaran hutang.
"Apabila kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP untuk pembayaran hutang kad kredit, ia akan menyebabkan pencarum berbelanja sesuka hati kerana dalam fikiran mereka, mereka masih mempunyai wang dalam KWSP," kata Nicholas.
Menurut Nicholas isu kebankrapan memberi kesan kepada struktur ekonomi negara dan kerajaan perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini dengan melaksanakan polisi-polisi mencegah perkara ini terus berlaku.
"Penyelesaian terbaik untuk ahli KWSP adalah untuk belajar mengurus wang dengan betul. Jika mereka tidak mengambil endah perkara ini sebelum ia berlaku, biarkan mereka berdepan dengan beban kebankrapan kerana ini akan menjadi satu pengajaran yang berguna untuk mereka.
"Saya percaya bahawa kebankrapan bukanlah satu isu besar, apabila mereka belajar dari pengalaman, mereka boleh berdiri pada kaki sendiri semula," tambah beliau.
Mengulas isu yang dibangkitkan orang ramai untuk menggunakan dana KWSP untuk membayar balik pinjaman rumah mereka, Ketua Pegawai Eksekutif iMoney Malaysia, Jason Kon berkata ia boleh menjadi idea yang baik atau buruk.
Menurut beliau tujuan KWSP diwujudkan adalah untuk pengguna menyimpan wang. Wang simpanan ini akan memperoleh dividen setiap tahun, dimana ia membantu pencarum terus menyimpan pada zaman bekerja dan sebagai pendapatan selepas bersara.
"Jika anda mengeluarkan KWSP anda untuk membayar keperluan jangka pendek, anda menjejaskan simpanan masa depan hanya kerana memikirkan keseronokan jangka masa pendek.
“Tetapi rumah adalah satu pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja dapat tempat tinggal, tetapi juga memberi anda keuntungan pelaburan jangka masa panjang.
“Dalam kes ini, dengan menggunakan caruman KWSP untuk membayar pinjaman rumah ia bermakna anda mengalihkan wang anda dari satu pelaburan jangka panjang yang baik kepada yang lain, "kata Jason.
Namun, berbeza pula dengan pendapat rakyat Malaysia yang rata-rata tidak bersetuju dengan idea ini kerana mereka mahukan hak untuk membuat keputusan sendiri apabila melibatkan wang mereka sendiri.
Astro Awani mendapatkan reaksi pengguna Facebook mengenai perkara ini dan nyata terdapat pandangan berbeza – sama ada setuju ataupun tidak.
Al Mantol: Kalau saya sudah tidak bekerja dan bekerja sendiri sepatutnya bolehlah saya keluarkan duit itu untuk keperluan harian. Kenapa nak tunggu sampai umur 50 baru boleh keluarkan? Itu duit saya. Kerajaan tak fikir ke kesusahan rakyat? Apa saya nak buat dengan duit itu, itu hak saya.
Azman AlBaith: Persoalannya, jika pekerja itu di'blacklist' atau dibankrapkan adakah kesemua wang dalam KWSP akan dirampas?
Syalina Ahmad: Saya tak bersetuju. Patutnya boleh keluarkan duit KWSP untuk langsaikan hutang kad kredit dengan syarat pengeluar/pencarum tidak boleh lagi membuat kad kredit baru.
Azrin Aziz Abdul Karim: Nanti dah tua tiada duit baru tahu itulah gunanya KWSP. Memanglah KWSP dilaburkan oleh kerajaan untuk memperkembangkan ekonomi negara. Anda semua bising begini seolah-olah duit KWSP anda lesap.
Nurulfitriah Abd Mutalib: Inilah bala menggunakan kad kredit. Masa guna tidak fikir mampu atau tidak untuk bayar semula. Saya sudah serik. Saya selesaikan perlahan-lahan. Saya bayar guna duit tunai sahaja sekarang.
#hutang #imoney.my #kad kredit #KWSP #pencarum #pengeluaran #Phillip Wealth Planners Sdn Bhd #wang
;