Wang khairat kematian: MB Selangor akan umum manfaat lain - Halimey
Wan Syamsul Amly
April 28, 2019 22:21 MYT
April 28, 2019 22:21 MYT
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan mengumumkan manfaat lain untuk menggantikan pemberian wang khairat kematian kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar menjelaskan, ia sekali gus menambah pelbagai faedah yang diberikan kepada rakyat sendiri oleh Kerajaan Pusat.
"Ini perbezaannya adalah semasa beliau, banyak lagi kita berikan kepada rakyat di peringkat Persekutuan sendiri yang sekarang ini berusaha beri banyak lagi kepada rakyat seluruhnya.
"Saya rasa ada manfaat lain yang akan diberi, akan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor sendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran kali kedua program Bank Makanan di sini, pada Ahad.
Jumaat lalu, kerajaan Selangor menerusi Menteri Besarnya memutuskan untuk tidak meneruskan pemberian wang khairat kematian kepada rakyat negeri ini sebaliknya warga emas yang berdaftar di bawah skim itu akan menikmati pemberian baucar Jom Shopping bernilai RM100 setahun.
Pada Sabtu, Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan Kerajaan Selangor menghentikan pemberian sumbangan khairat kematian berjumlah RM2,500 seiring pelarasan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bermula 30 April ini sangat mengecewakan.
Skim itu diperkenalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 tetapi akan ditamatkan oleh kerajaan PH Mei depan.
Beliau berkata, sebelum ini, Tabung Kewangan Anak Selangor (Tawas) dan Hadiah Perkahwinan untuk Belia juga terlebih awal dibatalkan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, kesemua program tersebut adalah antara 14 program kebajikan di bawah Skim Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang mempunyai matlamat murni iaitu memulangkan hasil negeri kepada rakyat.
#ADUN
#anak
#bank
#ekonomi
#kerajaan
#Khalid Ibrahim
#menteri
#Menteri Besar
#Pakatan Rakyat
#perkahwinan
#TAWAS