Wang ini bukan milik Tabung Haji, kenapa guna untuk selamatkan 1MDB? - Tun M
Astro Awani
Mei 8, 2015 20:36 MYT
Mei 8, 2015 20:36 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa kurang senang beliau dengan perkembangan mutakhir membabitkan Lembaga Tabung Haji.
Melalui catatan terbaharunya di blog chedet.cc, Dr Mahathir menyatakan kesedihannya apabila wang caruman Tabung Haji digunakan untuk pemulihan hutang 1MDB melalui pembelian tanah seluas satu setengah ekar milik 1MDB pada harga RM188.5 juta.
“Wang yang ditabung sejak penubuhan Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan Tabung Haji dan subsidi kepada bakal haji.
“Wang Tabung Haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji,” ujar beliau.
Mahathir turut membandingkan nilai harga tanah seluas 70 ekar Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli 1MDB pada harga RM194.1 juta, sedangkan Tabung Haji membeli hanya satu setengah ekar pada harga RM188.5 juta.
“Untung besarlah 1MDB. Sebenarnya tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan bumiputra. Tetapi 1MDB telah mengenepikan projek ini. Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya?” soal Dr Mahathir.
Tambah beliau, pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji dapat diurus untuk faedah mereka, tetapi masalahnya wang itu digunakan pula untuk menyelamatkan 1MDB yang kerugian berbilion ringgit.
“Rancangan ini perlu dibatal sekarang juga,” tegas Dr Mahathir.
Sementara itu, Dr Mahathir turut menyentuh pendirian Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengenai siasatan ke atas ahli perniagaan Jho Low dan anak tiri Perdana Menteri, Riza Aziz.
"Sebenarnya laporan telah dibuat oleh pihak lain (ke atas Jho Low dan Riza) tetapi tidak ada siasatan yang dibuat oleh sesiapa. Sebaliknya pihak yang melapor dimufliskan dan rumahnya telah digeledah.
"Jika Tunku Aziz begitu prihatin terhadap gejala rasuah, siasatlah dan laporlah kes-kes berkenaan. Buktikan juga yang saya lesap duit kerajaan.
"Jika tidak dapat diam sajalah," kata beliau.